Friday, June 11, 2010

Dusta

Umar al-Khattab ada berkata: “Kejujuran yang membuatku dihina itu lebih aku cintai daripada kebohongan yang membuatku dihormati. Namun, sedikit sekali yang melakukannya.” Orang yang selalu berdusta dalam percakapan seharian itu melambang manifestasi iman yang goyah. Apa tidaknya, orang yang senang berdusta akan menganggap dosa itu remeh malah boleh dianggap sebagai insan yang tidak takut azab sengsara neraka.
Dusta adalah antara sifat mazmumah yang wajib ditinggalkan kerana ia amat dilarang Allah berdasarkan firman-Nya: “Mahukah Aku khabarkan kepada kamu kepada siapakah syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan itu) sedangkan kebanyakan beritanya adalah dusta.” (Surah asy-Syu’araa: 221-223)
Demikian juga dengan penegasan Allah ini: …Serta jauhilah perkataan-perkataan dusta.” (Surah al-Hajj: 30) Berpandukan ayat Allah itu, jelas bahawa perbuatan berdusta sangat ditegah Islam. Sesungguhnya, berdusta dikategorikan sebagai dosa besar iaitu selepas dosa syirik (menyekutukan Allah) dan menderhakai ibu bapa. Ini seperti ditegaskan Rasulullah bermaksud: “Nabi pernah menyatakan berkenaan dosa-dosa besar. Kata baginda, menyekutukan Allah, menderhaka kedua-dua ibu bapa, membunuh dan berdusta.” (Hadis riwayat Bukhari)