Friday, December 11, 2009

Pemimpin perlu miliki ilmu dan akhlak yang baik

MENJADI seorang pemimpin bukan semudah yang disangka. Sekiranya manusia tahu bebanan harus dipikul oleh seseorang pemimpin, mungkin tidak ada seorang pun manusia berebut menjadi pemimpin. Realiti di dunia hari ini memperlihatkan ramai manusia yang tergila-gilakan jawatan sebagai pemimpin .
Islam meletakkan pemimpin sebagai pemegang tanggungjawab dan amanah, bukannya suatu keistimewaan yang perlu dibangga-banggakan. Besar atau kecil tanggungjawab itu berbeza bergantung kepada besar atau kecilnya bidang kepemimpinan. Bermula dengan pemimpin kepada diri sendiri yang bertanggungjawab kepada semua perkara yang membabitkan diri sendiri, sehinggalah pemimpin kepada sebuah negara yang bertanggungjawab kepada semua rakyat.

Seorang manusia yang dilantik menjadi pemimpin harus mempersiapkan dirinya sendiri sesempurna mungkin untuk menghadapi segala dugaan dan ujian sepanjang menyandang sesuatu jawatan pemimpin itu. Selain mempunyai fizikal yang sihat, seorang pemimpin juga mesti mempersiapkan mindanya dengan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Persiapan dari aspek sahsiah juga tidak perlu dipandang mudah kerana inilah yang akan menentukan kualiti seorang pemimpin dan akan dihormati oleh orang di bawah pimpinannya.
Abu Zar Al-Ghifari pernah menyatakan hasratnya untuk menjadi seorang pemimpin kepada Rasulullah, lantas Rasulullah menepuk bahu Abu Zar sambil bersabda yang bermaksud: “Wahai Abu Zar, engkau adalah lemah, sedangkan pemimpin itu suatu amanah. Pada hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan, melainkan mereka yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan kewajipan sudah ditentukan dalamnya.”

Betapa beratnya tugas pemimpin dan betapa besarnya amanah terpaksa dipikul menyebabkan Rasulullah tidak menyukai umat yang meminta-minta untuk menjadi pemimpin kerana beranggapan orang berkenaan sebagai terlalu yakin dan mempunyai maksud yang tersirat. Sekiranya Rasulullah membenarkan situasi perebutan kuasa ini berlaku di dalam Islam, sudah pasti akan timbul banyak penyelewengan, rasuah dan perpecahan di kalangan manusia. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Demi Allah kami tidak akan melantik pengendali tugas ini kepada seorang yang meminta-minta atau berusaha mendapatkannya.” Sebab itulah Islam lebih cenderung melantik seseorang pemimpin mengikut kemampuan sebenar atau diistilahkan sebagai ‘memberi hak kepada yang berhak’.
Seorang pemimpin seharusnya mengelak dirinya daripada dicemuh dan dibenci orang bawahan. Oleh itu dia harus bersikap adil dalam kepemimpinannya dan membina sahsiah diri agar dihormati lantaran kemuliaan akhlaknya..Oleh kerana besarnya tanggungjawab dan amanah yang terpikul pada bahu seseorang pemimpin, maka Allah memberi satu janji yang sangat besar kepada mereka yang mampu melaksanakan amanah itu dengan meletakkan pemimpin berjaya ini sebagai golongan pertama daripada tujuh golongan untuk mendapat bayangan (perlindungan) Allah pada hari akhirat kelak.

Sebaliknya bagi mereka yang gagal meletakkan diri mereka sebagai pemimpin yang diredai, Allah menjanjikan satu balasan yang amat hina untuk mereka melalui sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang mengetuai urusan orang Islam dan tidak bersusah payah untuk mengendalikan urusan mereka serta tidak memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada mereka, ia tidak akan masuk syurga bersama-sama mereka.”
Rasulullah juga memberi peringatan kepada pemimpin yang mengambil peluang ketika menjadi pemimpin untuk mengaut keuntungan peribadi dan menipu orang di bawah pimpinannya dengan hadis bermaksud: “Sesiapa yang dilantik untuk mengetuai urusan orang Islam dan mati ketika ia mengetuai urusan itu, pada hal dia menipu mereka, ia diharamkan oleh Allah daripada mendapat balasan syurga.”